Solat Jumaat atas jalan

KUALA KRAI - Gara-gara ‘berebut’ projek pemasangan permaidani, Masjid An-Nur di Guchil 3, dekat sini, yang bernilai RM2.1 juta masih tidak dapat digunakan biar pun masjid baru itu sudah siap sejak pertengahan Mei lalu.

Akibatnya, harapan penduduk Guchil untuk menggunakan masjid yang dirasmikan upacara pecah tanahnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak awal Januari tahun lalu itu sehingga kini masih tidak kesampaian.

Masalah itu juga menyebabkan penduduk terpaksa menunaikan solat Jumaat di merata-rata masjid sekitar, bahkan ada yang menunaikan solat atas jalan di sebuah masjid 'alternatif' berikutan tiada permaidani di Masjid An-Nur.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Fauzi berkata, walaupun pembinaan masjid baru itu sudah siap pada 13 Mei lalu seperti jadual asal, penduduk masih tidak dapat menggunakannya kerana masalah permaidani.

Dia mendakwa, masalah timbul apabila tiga kontraktor asal yang terlibat dengan projek pembinaan masjid itu ‘dihalang’ pihak tertentu daripada memasuki tender bagi memasang permaidani berkenaan.

Dakwanya, ‘perbalahan’ dipercayai berpunca daripada sikap satu pihak lagi selain tiga kontraktor asal yang turut berminat untuk mendapatkan projek pemasangan permaidani di masjid berkenaan.

"Masjid sudah lama siap tapi tak dapat guna sebab tak ada permaidani sehingga kami penduduk Guchil terpaksa bertaburan mencari masjid pada setiap hari Jumaat untuk sembahyang.

"Penduduk Guchil bukan sikit, mana mampu masjid-masjid lain nak tampung mereka sedangkan jemaah asal masjid itu pun sudah ramai,” katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.

Justeru, Fauzi meminta pihak berkenaan supaya mencari jalan bagi menyelesaikan segera masalah permaidani itu dengan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga menyusahkan penduduk.

Masjid An-Nur baru bagi menggantikan masjid lama yang berusia lebih 40 tahun itu terdiri daripada dua tingkat dan merupakan masjid termoden di daerah ini.

Upacara pecah tanah projek masjid baru itu disempurnakan Najib yang pada waktu itu masih Timbalan Perdana Menteri pada 4 Januari tahun lalu.

Langkah Najib meluluskan peruntukan sebanyak RM2.1 juta untuk masjid baru itu secara tidak langsung mengulangi sejarah bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak yang meluluskan RM35,000 untuk membina masjid lama pada 1968.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di salah sebuah masjid ‘alternatif’ mendapati, penduduk terpaksa menunaikan solat Jumaat dalam keadaan panas di bawah khemah yang diletakkan di tengah jalan.

Tinjauan turut mendapati, ada juga dalam kalangan jemaah yang menjadikan beranda sebuah rumah di belakang masjid dan padang sebuah sekolah rendah berhampiran sebagai tempat solat.

No comments: