ERTI KEHIDUPAN MAKHLUK BERNAMA INSAN

Di saat dan ketika ini, kita yang bernama insan masih lagi diberikan nafas dan nyawa oleh Sang Pencipta yakni Allah Taala. Mengapa kita dihidupkan sampai saat ini? Pernah atau tidak kita berfikir sedemikian? Pernah atau tidak kita bertanyakan diri kita mengapa dan kenapa kita dihidupkan lagi? Mungkin kita terlupa atau tidak terfikir untuk bertanyakan soalan sedemikian. Buat apa kita tanya soalan itu? Namun jauh di benak hati dan minda kita, sebenarnya banyak jawapan yang akan terjawab sekiranya kita mencuba untuk mencari jawapannya. Cubalah kita cari jawapannya sekarang sebelum Sang Pencipta mengambil nyawa dan kehidupan kita.

Bersedia atau tidak bukan persoalannya untuk kita mencari apa erti kehidupan kita sebagai makhluk yang bernama insan. Al-Quran telah membuktikan bahawa Nabi Adam diciptakan untuk menjadi Khalifah Allah di muka bumi. Khalifah yang akan memakmurkan bumi dengan memberikan sinar cahaya bagi bumi dan isinya. Maka di sini kita lihat betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh kita selaku Khalifah. Jika Nabi Adam, manusia pertama yang ditugaskan untuk menjadi Khalifah dan pemakmur muka bumi, maka apa pula tugas kita selaku insan seperti Nabi Adam? Kalau difikir-fikirkan maknanya tugas kita adalah tugas yang pernah dipikul oleh Nabi Adam. Maknanya tugas yang sama. Namun begitu, apakah benar kita berkeadaan sedemikian? Benarkah kita ini Khalifah Allah sekarang? Benarkah kita ini sudah memberi kemakmuran kepada bumi Allah ini? Benarkah sekarang kita sudah memberi sinar dan nur Islam kepada bumi Allah ini?

Insan memang mesti bersedia dari dahulu lagi. Insan sudah berjanji dengan Allah untuk membaktikan diri kepada Allah. Berjanji untuk menyembah dan beribadat kepada Allah. Menyerah diri hanya kepada Allah. Bukan setakat untuk menjadi Khalifah tetapi menjadi hamba-hamba-Nya yang akan sentiasa menyembah-Nya. Itulah janji kita. Janji yang kita sendiri lupa. Sebab semasa kita berjanji itu, kita masih lagi di alam ruh. Alam yang kita sendiri tidak tahu bila ianya berlaku. Ini kerana sedar-sedar kita sudah ada di alam nyata yakni bumi ini. Sebenarnya sebelum kita berada di alam nyata ini, kita melalui beberapa proses perjalanan seperti alam ruh dan alam rahim. Namun semua itu kita lupa dan tidak tahu bagaimana ianya berlaku. Cuma kita hanya boleh merasai dan membayanginya dengan pengetahuan yang sedikit yang dikurniakan oleh Allah serta digambarkan kepada kita.

Perjalanan hidup insan memang mencabar dan berliku. Berlakunya kehidupan yang susah dan senang. Kehidupan yang menyebabkan insan seperti kita ini bingung. Mana satu yang harus diikuti dan mana satu yang harus dijauhi. Mana satu yang harus diteladani dan sebagainya. Kalau diikutkan maka kehidupan ini tidak perlu diteruskan. Namun sebagai insan dan hamba-Nya yang terpilih tidak dapat tidak kita semestinya terus berjuang untuk hidup dengan memilih jalan yang betul dan lurus yang telah disyariatkan oleh Islam. Islamlah yang boleh meluruskan perjalanan hidup insan. Tugas kita ialah sentiasa mengkaji dan menuntut ilmu yang sememangnya seperti lautan yang tidak akan pupus dan kering. Teruskanlah hidup kita walau di sana kita sering ditimpa kesedihan, sering ditimpa kesakitan, sering ditimpa kesusahan, namun kita juga sering mendapat kebahagiaan, sering mendapat kesenangan, sering mendapat kesihatan. Apa yang penting ialah hidup mesti berlandaskan apa yang termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Jadilah hamba-Nya yang menjalani hidup amal makruf nahi mungkar. Semoga berjaya di dunia mahupun di akhirat. Amiin





*artikel dari punaitanah

No comments: