Gerhana Bulan Penuh - 10 Disember 2011

759pm_0

Pada 10 Disember 2011 ini, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada bulan Jun 2011 lepas. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam

Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh)  pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam.

Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.

Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):

Moon enters penumbra:      2011 Dec 10  19:31:37

Moon enters umbra:             2011 Dec 10  20:45:11

Start of totality:                       2011 Dec 10  22:05:29

Maximum eclipse:                2011 Dec 10  22:31:36

End of totality:                        2011 Dec 10  22:57:45

Moon leaves umbra:            2011 Dec 11  00:18:04

Moon leaves penumbra:     2011 Dec 11  01:31:30

Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat.

Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Video di bawah merupakan simulasi gerhana bulan yang dibuat menggunakan perisian Stellarium.

(Jika video tidak muncul, sila klik terus ke link youtube ini)

 

Gambarajah 1 di bawah ialah laluan bulan ketika ia bergerak di dalam bayang-bayang umbra dan penumbra bumi. (credit to F. Espenak, NASA’s GSFC eclipse.gsfc.nasa.gov/eclipse.html)

Secara umumnya, bayang-bayang Bumi terbahagi kepada bahagian:

i.                    Penumbra– kawasan bayang-bayang bahagian luar, yang mana ia tidak begitu gelap dan agak sukar dilihat perbezaan warnanya apabila diamati dengan mata kasar.

ii.                  Umbra– kawasan bayang-bayang bahagian dalam, yang mana di sinilah kawasan yang paling gelap dan terlindung terus daripada pancaran cahaya matahari. Warnanya kemerahan kerana cahaya matahari terbias apabila ia melintasi kawasan atmosfera bumi, lalu menghasilkan cahaya kemerahan.

Gambarajah 1

lunareclipse2

Gambarajah 2, di bawah  ialah peta dunia yang menunjukkan kawasan mana yang boleh lihat fenomena gerhana kali ini. (credit to F. Espenak, NASA’s GSFC eclipse.gsfc.nasa.gov/eclipse.html).

Perhatikan keseluruhan Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) berpeluang melihat keseluruhan fasa gerhana dari awal hingga akhir

lunareclipse1

Gambarajah 2

Jika anda terlepas gerhana kali ini, anda terpaksa menunggu sehingga 10 Okt 2014 untuk Gerhana Penuh Bulan yang boleh dilihat dari Malaysia. Itupun anda hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sudahpun TAMAT fasa gerhana sepenuhnya ketika ia terbit di waktu Maghrib (di Kuala Lumpur). Gerhana Penuh seterusnya ialah 4 Apr 2015 dan itupun anda dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sedang memasuki fasa gerhana penuh ketika ia terbit.

Oleh itu jangan lepaskan peluang menyaksikan KESELURUHAN fasa Gerhana Bulan Penuh pada bulan Disember nanti.

Selamat Mencerap Gerhana!

(sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu)

3 comments:

Umar Arlee said...

Kene tunggu ni!

Khairiz said...

yup kena tunggu :)

"aja2 fighting" said...

pasti tgk...teringin nak tgk depan mata...ne tau ley wat sejarah lam idup aja...ahahaks