Belajar susah untuk senang

 

"Mak belikan yang tu" tangan mungil seorang anak perempuan mengunjuk barang permainan yang bergayutan di sebuah kedai permainan. "Eh, nantilah mak belikan, engkau ingat mak ni cop duit ke? Semuanya nak beli?" kata ibunya dengan tegas.


Kisah di atas adalah senario yang biasa dapat dilihat di sekeliling kita. Begitu juga dengan kebanyakan cara berfikir orang sekarang.
Mengapa ya? Kita selalu fikir semuanya hendak mudah, tidak mahu bersusah payah dahulu? Kalau boleh semua yang diminta terus ada di depan mata.
Manjakan Anak Keterlaluan


Terdapat ibu dan ayah terlalu memanjakan anak-anaknya. Benar, mungkin di dalam fikiran mereka tidak mahu anak-anak hidup susah seperti dahulu. Biar cukup makan dan pakai. Tetapi sekiranya dibiarkan anak mudah bermanja-manja tanpa berusaha, bila sudah besar nanti apa akan jadi kepadanya? Ia tidak tahu cara untuk berdikari kerana dahulunya apa yang diminta semuanya dapat. Apabila sudah besar hiduplah ia bagaikan parasit yang selalu bergantung kepada orang lain.


Sebuah rumah dibina dari asasnya. Ada cerucuk, konkrit, perlu pada batu bata. Disimen, di 'plaster' dan sebagainya sehinggalah menjadi rumah yang teguh. Sepuluh, dua puluh tahun tetap kukuh dan tahan daripada kerosakan. Ini kerana asasnya yang kuat. Cuba pula lihat rumah yang 'cepat siap' di tangan kontraktor yang mindanya 'suka mengambil mudah', retak di sana sini, bocor di bumbung hinggalah merisaukan penghuni di dalamnya.
Minda Semua Ingin Mudah


Terdapat pula cara berfikir semua ingin mudah, tidak ingin bersusah payah. Maka sebab itu terdapat risalah yang disebarkan oleh orang tertentu di masjid atau di surau rehat dan rawat mengajak untuk bantu membantu antara satu dengan yang lain. Isikan borang yang pertama dan tidak lupa 'sedekahkan' wang dalam jumlah tertentu ke dalam akaun bank peserta pertama dan kedua. Disertakan sekali ayat al Quran dan hadith (untuk memantapkan hujjahnya). Diberikan senarai testimoni peserta yang telah berjaya mendapat ribuan ringgit untuk melangsaikan hutang dan sebagainya. Padahal sikap seperti inilah yang menjadikan manusia malas untuk berusaha. Hanya duduk diam, cukup bulan jenguk dalam mesin ATM berapa puluh ribu yang akan diterimanya hasil dari 'bantuan' orang lain. Berapa ramai yang terkena minda seperti ini?


Hendak Belajar ? Search Sahaja Dalam Google


Betul, memang mudah sangat untuk belajar sekarang ini. Taip sahaja di bahagian google search dan apa sahaja ilmu yang diingini akan dapat dengan mudah. Ada seorang user memberitahu untuk menjatuhkan hukum cukup dengan cari hadith sahih dalam internet kemudian sudah boleh berhukum. Padahal hadith sahih itu sendiri ada martabatnya dan syarahnya. Lalu lahirlah tukang-tukang pemberi fatwa yang sesat dengan pemikirannya sendiri akibat agama itu diliberalisasikan atas nama agama itu mudah. Lihatlah - berapa ramai yang terlibat dalam golongan anti hadith, rasul melayu dan banyak lagi fahaman yang menyeleweng.

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Seseorang itu tidak akan menjadi cendiakawan hanya dengan melayari internet tanpa ada asas ilmu. Belajar tanpa guru hanya menjadikan seseorang itu 'kepeningan' dalam fikirannya sendiri tanpa panduan. Barulah di sini akan ada bandingan apa yang dinamakan kualiti.


Hendak Kaya Bukan Dengan Duduk Diam


Ada satu bentuk pemikiran baru untuk kaya dengan mudah. Iaitu dengan melaburkan duit dengan jumlah tertentu, dan tunggu sehingga cukup bulan. Duit akan bertambah, tidak perlu kerja. Duit akan masuk setiap hari. Dan selepas itu bolehlah berangan untuk terbang ke angkasa biru, membeli belah, rumah besar dan sebagainya.
Bila dikaji dan disemak sejarah orang yang berjaya dan kaya raya. Mereka berusaha dengan titik peluh sendiri. Amat sedikit orang yang kaya dengan sebab harta pusaka. Itupun sekiranya tidak diurusi dengan ilmu. Alamat sekelip mata boleh papa kedana.


Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary mula berniaga pada umurnya 19 tahun dalam jual beli lembu dan kerbau. Semasa menerima gaji pertamanya sebanyak RM 1,500, sebahagiannya telah diserahkan kepada orang miskin. Dan kini ia mempunyai harta bernilai RM 4.16 billion di mana sebahagian besarnya juga telah 'dikembalikan' semula kepada orang Islam yang memerlukan. Cantiknya beliau adalah sikapnya tidak mendabik dada. Apatah lagi untuk duduk berdiam diri tanpa berbuat apa-apa dengan menunggu duit turun dari langit.


Dakwah Perlu Dengan Usaha Dan Ada Susah Payah


Tiada jalan singkat untuk menyebarkan dakwah sambil mengharapkan apa yang disampaikan pasti orang akan terima dan tunduk. Kerana manusia mempunyai akal fikiran yang selalu memberi alasan dan mencari sebab dan musabab. Sehinggalah mulutnya terkunci nanti kerana habis riwayat kehidupan.


RasuluLLah tidak pernah berhenti untuk menyampaikan risalah ALlah, asanya tidak pernah putus dalam mendakwahi bapa saudaranya sehingga beliau (bapa saudaranya) meninggal dunia. Dakwah yang paling ringan walaupun dengan menunjukkan akhlaq yang baik, hendaklah berterusan. Dakwah itu ada seninya, cara bercakap, pendekatan, pendek kata :


1. Tahu dengan siapa kita berdakwah
2. Apa latarbelakangnya - keluarga, pendidikan agama
3. Budayanya
4. Cara berfikir
5. Umurnya - kanak-kanak, remaja, dewasa, orang tua
6. Keadaan dan suasana


Lihatlah, ada insan yang tercicir dalam perjuangan dakwah. Menyebabkan mad'u lari, menimbulkan permusuhan, kecelaruan dan kekeliruan. Barulah nampak di sini - pentingnya belajar dan kefahaman.


Pada akhirnya - dalam perjalanan hidup yang singkat ini. Benar... orang yang berjuang di jalan-Nya akan merasa seolah-olah sempit jiwa. Tetapi bila dikenang bahawa di dalam kesulitan itu ada kemudahan. Barulah merasa bahawa ALlah sentiasa menolongnya... ALlahu ALlah

No comments: