perbanyakkanlah perkataan sabar di dalam hatimu

Ada suatu ketika orang bertanyakan padaku siapakah itu yang dikatakan sahabat. Dia lelah memikirkan bagaimana ingin mencari sahabat yang baik, kerana disekelilingnya penuh dengan kawan yang bersifat kepura-puraan. Di hadapan kita bukan main senyum manisnya, elok perkataannya, tetapi di belakang kitalah yang dijadikan bahan untuk diperkatakan. Didedahkan segala keburukan seolah2 tidak pernah ada satu pun kebaikan yang tinggal.


Akhir-akhir ini, sifat para sahabat yang mulia semakin hilang, mereka telah berani mengajak untuk berbuat kemaksiatan, katanya apa guna ada sifat malu, sedangkan kita semakin ketinggalan. ada yang sudah berani mengherdik dan menjatuhkan air muka kita di hadapan ramai.


Bukankah di zaman ini, untuk menyebarkan salam sahaja amat payah? walaupun ketika berselisih, padahal dia adalah teman serumah, padahal pernah satu tempat belajar, padahal pernah bertegur sapa sebelum ini. Bila ia melihat kita, ditariknya muka masam, sedangkan tidak tahu apa asal punca hingga meninggalkan kita dalam keadaan bingung. Tiba di dalam kerja berkumpulan, kitalah yang bertungkus lumus membuat dan berusaha menghabiskan tugasan. Setiba sahaja pada giliran mereka, bermacam dalih diberi, katanya `kerja ini tidak sesuai untuk dirinya, beratlah, membuang masa, berbaloikah kerja bersusah-susah begini?, nantilah tolong, banyak lagi kerja lain yang perlu disiapkan’ padahal kenyataannya, dia masih boleh bersenang lenang membuang masa, boleh keluar untuk bermain-main malahan tidurnya lebih panjang dari biasa.


Ada juga kawan yang kita selalu berikan padanya dorongan dan tongkat untuk ia berdiri ketika ia di dalam kesusahan. Tetapi madu itu dibalasnya dengan tuba yang menghiris hati, hampir-hampir sahaja air mata mengalir, tetapi ditahankan saja, kerana barulah ketika itu tahu, ramainya sahabat yang tidak mengenang budi. Rupanya semua yang di hadapannya adalah sandiwara semata, masa perit dan sakit, diusungnya muka di hadapan kita meminta pertolongan, dikeluh kesahkan kisahnya hingga berjurai air mata. Kenapa tuan, inikah dugaan namanya untuk mendapatkan sahabat yang sejati, yang boleh aku percayai?

Maka aku menasihatinya, kerana kusedar bahawa hak seorang Muslim itu bila diminta nasihat maka wajib kita memberikan pertolongan. Benarlah ia dugaan buat yang ingin mencari erti sahabat yang sebenar. Maka aku katakan, bahawa seorang sahabat itu adalah yang dapat kita contohi peribadinya yang mulia, yang dapat berkata benar bukan hanya membenarkan sahaja apa yang sahabatnya perkatakan. Bahawa seorang sahabat itu adalah cermin untuk melihat kekurangan, bukan ia seorang yang memuji selalu hanya untuk menyenangkan hati padahal ia adalah palsu dan menghancurkan diri.

Sahabat itu adalah yang berada di sisi ketika di dalam memerlukan, benar ia di hadapan dan tidak curang pula ketika ia tiada bersama-sama. Seorang sahabat, dialah yang dapat menguatkan semasa sahabatnya diuji, mencintai sahabatnya melebihi ia menyintai dirinya sendiri.

Sahabat itu adalah yang menyenangkan hati, walaupun ada kalanya ia menyinggung (kerana tidak sengaja). Tetapi bila sahaja ia sedar, lekas-lekas ia meminta maaf. Bila tersilap dan terlencong, maka dipandunya kita dengan rasa kasih, diperbetulkan dengan rasa jujur tanpa rasa bosan sedikitpun, bukan pula ia melarikan diri dan meninggalkan sahabatnya itu dalam keadaan sedih dan keseorangan. Ketika di dalam perkumpulan, ringan tangannya, lapang dadanya untuk membantu. Tak perlu disuruh, bahkan ia bertanya apa yang dapat ditolong, diringankan kesusahan? Jadilah ia seorang Mukmin itu dengan mukmin yang lain bagaikan binaan yang menguatkan antara satu sama lain.

Maka perbanyakkanlah perkataan sabar di dalam hatimu, kerana sahabat yang banyak sabarnya itu juga adalah sahabat yang berharga sukar dicari dan ia dapat menyabarkan dan memaafkan orang lain. Dan akhirnya jadilah sahabat yang jujur, supaya dengan jalan yang demikian, hidupmu akan terpelihara daripada bahaya dan tempat kembali ketika datang bencana, nasihat yang akhir ini aku ambil dari sahabat RasuluLlah saidina Umar bin al Khattab.